Kebanyakan orang menyangka pengambilan makanan harus untuk dua orang (ibu dan bayi) ketika mengandung. Sebaliknya, anda tidak perlu makan untuk dua orang. Sudah memadai dengan menambah pengambilan susu, kekacang dan ikan di samping makanan biasa yang anda ambil.
Ketika mengandung, badan anda lebih efisien dan berkemampuan menyerap lebih nutrisi dari makanan. Menggandakan pemakanan anda tidak bermakna menggandakan peluang untuk mendapatkan bayi yang sihat, tetapi berkemungkinan besar akan meningkatkan berat badan anda. Akibatnya, risiko mengalami komplikasi semasa mengandung akan meningkat.
Bagaimana mendapatkan nutrisi yang mencukupi tanpa makan secara berlebihan?
Berikut merupakan beberapa tips untuk memaksimakan pengambilan gizi berkhasiat semasa mengandung:
- Penuhi keperluan nutrisi harian anda seperti protein, karbohidrat, lemak yang berguna, vitamin dan mineral dengan menvariasikan makanan anda sebagai contoh, makan sayur-sayuran yang berbeza warna, jenis dan tekstur kerana setiap sayur mempunyai keperluan nutrisi yang berbeza-beza.
- Cuba minimakan pengambilan makanan yang tinggi kalori tetapi kurang berkhasiat seperti minuman bergas, makanan bergoreng dan sebarang makanan yang tinggi lemak dan gula.
- Pilih makanan yang paling hampir dengan keadaan asalnya atau yang paling minima pemprosesannya seperti buah-buahan dan sayur-sayuran segar, beras perang atau roti berbijirin tinggi.
